USAHA BERTERUSAN YASA-UMPSA PERKASA PELAJAR LUAR BANDAR MELALUI KELAS TUISYEN PERCUMA
Jumlah paparan: 25
Pekan, 19 Julai 2025 – Siri Ke-9 Program Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA diteruskan hari ini di UMPSA Pekan dengan penglibatan pelajar daripada 7 buah sekolah sekitar Darrah Pekan. Program ini merupakan kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dalam memperkasa pelajar B40 menghadapi peperiksaan SPM.
Bagi sesi pagi, dua kelas berjalan serentak melibatkan subjek Matematik bersama Anis Ayuni Binti Ab Wahab (SMA Al-Attas) dan Matematik Tambahan bersama Cikgu Juliani Binti Yunus (MRSM Tun Abdul Razak). Manakala sesi petang menyusul dengan kelas Sains bersama Ariffa Rizan Binti Zahari (SMK Indera Shahbandar) dan Kimia bersama Cikgu Mariana Binti Mohd Nasir (SMK Pekan).
Kelas dijalankan secara bersemuka di bilik kuliah UMPSA Pekan, dengan pendekatan interaktif yang menekankan pengukuhan konsep dan strategi menjawab soalan peperiksaan.
Program ini membuktikan komitmen berterusan YASA-UMPSA dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti secara percuma kepada pelajar luar bandar, selaras dengan usaha membina masa depan cerah untuk generasi muda negara.