UMP STEM Lab
UMP dengan kerjasama UMW Toyota Motor sebagai penyumbang utama telah menganjurkan Projek Ninja@UMP Stem Lab pada 7 Januari 2020 di UMP Pekan. Projek Ninja yang melibatkan beberapa sekolah di sekitar UMP Pekan telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penglibatan hampir 80 orang pelajar sekolah untuk memanfaatkan projek pembelajaran STEM Lab ini. Pelajar sekolah dihantar pihak sekolah ke UMP Pekan.


Para pelajar ini didedahkan dengan pembelajaran praktikal di makmal yang sememangnya lebih menarik minat para pelajar untuk mempelajari sesuatu silibus dengan lebih dekat. Penglibatan beberapa pensyarah dan juga mentor yang terdiri daripada pelajar sarjana UMP juga dapat menggalakkan lagi komunikasi dua hala antara pelajar UMP. Antara sesi Projek Ninja yang dilakukan adalah ShellOut Ninja, Connectivity Pace, Straight Lane dan banyak lagi. Dengan sumbangan yang diterima hasil dari kutipan dana Program Charity yang dilaksanakan oleh Toyota, sebilangan besar bahan pembelajaran dan pengajaran dapat disediakan bagi para pelajar meneroka bidang subjek yang dipelajarinya secara praktikal sekali gus dapat menjadi satu lonjakan paradigma kepada pelajar-pelajar untuk lebih bersungguh-sungguh menambah ilmu selain dapat merasai pengalaman belajar di universiti.


Hasil daripada sesi Projek Ninja@UMP Stem Lab ini jelas dapat dilihat pelajar-pelajar sekolah seronok menimba ilmu dengan pembelajaran dan pengajaran secara praktikal ini. UMP berhadap dapat memberi impak yang besar dalam menggalakkan pelajar sekolah untuk terus menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi dengan bantuan sumbangan daripada UMW Toyota Motor.